Pages

Monday, December 9, 2013

Status Hadis: “Umatku, umatku..”


Ramai yang bertanya saya tentang status hadis Baginda Nabi SAW menghembuskan nafas terakhirnya dengan menyebut: Umatku, umatku..”. Saya jawab, hadis ini ada disebut dalam kitab Durrah al-Nasihin oleh Syeikh ‘Uthman bin Hasan bin Ahmad as-Syakir al-Khubawi al-Hanafi (w. 1241H). Namun, beliau tidak menyebut sumber asalnya. Hadis-hadis kitab Durrah al-Nasihin ini telah ditakhrij oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam tesis Ph.Dnya, Takhrij Hadith-hadith Durrah al-Nasihin. Kini telah diterbitkan oleh Penerbit UKM (2013) dengan judul: Nilai Hadis Dalam Durrat al-Nasihin (*Harga RM80. Sekarang ada diskaun sehingga 31 Dec. 2013 dengan harga RM52).

Matan yang dicatat oleh al-Khubawi tersebut berbunyi:
قال علي رضي الله تعالى عنه: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر نفسه حرك شفتيه مرتين، فألقيت سمعي فسمعته يقول خفية: أمتي أمتي.
Terjemahan: Kata ‘Ali RA: bahawa Rasulullah SAW di akhir nafasnya telah menggerakkan kedua-dua bibirnya sebanyak dua kali. Lalu aku memasang pendengaranku dan aku dengar baginda bersabda secara perlahan: “Umatku, umatku..”.

Semenjak remaja, saya sudah mendengar hadis ini yang popular di kalangan para pendakwah dan penceramah. Sehinggalah saya belajar di Mesir dan saya mulai terfikir untuk mencari sumber asal hadis ini. Namun, sehingga kini saya masih belum menemui sumber asal hadis berkenaan! Demikian juga menurut kajian Dr. Ahmad Lutfi Fathullah (hlm. 62).

Malah hairannya, hadis ‘Ali RA yang sabit adalah bertentangan dengan hadis di atas yang diriwayatkan oleh Abu Dawud (5158), Ibn Majah (2698) dan Ahmad (585) dengan lafaz:
كَانَ آخِرُ كَلاَمِ النَّبِيّ -صلى الله عليه وسلم-: « الصَّلاَةَ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ».
Terjemahan: Ucapan terakhir Nabi SAW ialah: “Solat dan apa yang dimiliki oleh tangan kanan kamu sekalian” (Lafaz Ibn Majah).

Ia juga bercanggah dengan hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (4436, 4437 dll), Muslim (2191), at-Tirmizi (3496), Ibn Majah (1619) dan lain-lain daripada ‘A’isyah RA bahawa kata-kata terakhir baginda adalah: (اللّهُمَّ فِي الرَّفِيقِ الأَعْلَى). Pada riwayat lain: (اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وارْحَمْنِي وأَلْحِقْنِي بالرَّفِيقِ الأَعْلَى).

Manakala al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menegaskan bahawa hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dan Ibn Saad melalui beberapa jalan riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW wafat di pangkuan ‘Ali RA adalah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh perawi Syiah yang tidak patut dijadikan pegangan. Namun, ia bukan berkaitan Nabi SAW mewasiatkan ‘Ali RA sebagai khalifah selepas baginda wafat kerana riwayat Ibn Saad menyebut Nabi SAW mengucapkan: (الصلاة الصلاة). Manakala pada riwayat al-Hakim pula tiada disebut apa-apa. (Lihat Fath al-Bari: 8/138-139)

Justeru, hadis di atas tidak ditemukan sumbernya. Secara tekniknya, tidak terdapat sebarang halangan jika ada orang yang hendak menghukumkannya sebagai maudu‘ dengan alasan-alasan yang tersebut. Wallahu a‘lam.


No comments: