Pages

Saturday, December 24, 2011

Tan Sri Abdul Hamid Othman meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Othman meninggal dunia Jumaat dipercayai akibat serangan angin ahmar. Beliau berusia 72 tahun.

Beliau yang bertugas sebagai Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang ketika sedang menjalankan urusan kerja di pejabatnya di Maju Junction di sini.

Pegawai peribadinya Nor Azhar Yusof berkata sebelum serangan itu, beliau kelihatan sihat dan berwatakan seperti biasa namun tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas.

"Kakitangan pejabat memanggil saya apabila melihat Allahyarham mengalami sesak nafas dan kami semua cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan namun lima minit kemudian Tan Sri telah tiada.

"Allahyarham mempunyai sejarah penyakit lain iaitu sakit jantung dan diabetis," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata jenazah Abdul Hamid dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong.

Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (Kewaja) itu meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Jamilah Mohd Said, 68, seorang anak, Wafi Nazrin dan serta lima orang cucu.

Allahyarham dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah pernah mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam.

Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1995 sehingga 1999. Sebelum itu pada tahun 1990 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009.

Semasa hayatnya Allahyarham merupakan penerima pertama biasiswa kerajaan Malaysia menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir, bersama empat orang lagi pelajar lain dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam pada 1961.

-- BERNAMA


* Biodata beliau dari http://tranungkite.net


Tan Sri Dr. Haji Abdul Hamid b. Haji Othman dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sik sehingga tamat darjah lima pada tahun 1952. Kemudiannya menyambung pelajarannya di sekolah berpengantar Bahasa Arab di Madrasah al-Nahdah Bukit Besar sehingga tahun 1954. Di bawah asuhan Tuan Shaik Othman Al-Yunusi atau lebih dikenali sebagai 'Pak Man Bukit Besar' ini, beliau telah terpilih untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, Perak sehingga tahun 1956.

Kecemerlangannya sebagai pelajar telah membuka peluang kepada beliau untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Kelang pada tahun 1959 sehingga tahun 1962 dan berjaya memperolehi Sijil Tinggi Agama dan Diploma Pendidikan. Tan Sri Hj Abdul Hamid juga berjaya memperolehi 'Lower Certificate of Education' dan Sijil Senior Cambridge secara persendirian. Pada tahun 1961, beliau telah terpilih mendapat tawaran pertama biasiswa Kerajaan Malaysia untuk belajar di Universiti AI-Azhar bersama empat orang lagi pelajar Malaysia di dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam.

Tan Sri Hj Abdul Hamid b. Hj Othman kemudiannya telah ditawarkan biasiswa di bawah Skim Latihan Tenaga Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di University of St. Andrew, Scotland dan memperolehi Ijazah Ph.D.

Kerjaya:

  • Guru di Sekolah Menengah Tunku Ampuan Rahimah Kelang
  • Beliau telah ditukarkan untuk mengajar di Kolej Islam Kelang (1970-1971)
  • Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia
  • Beliau dengan rasminya dilantik menjadi Pengetua Maktab Perguruan Islam yang pertama (1977)
  • Beliau telah diberi mandat untuk menjawat jawatan sebagai Pengarah Pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan (1981-1984)
  • Mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam.
  • Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
  • Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Penglibatan Politik :

  • Memenangi Pilihanraya Kebangsaan (1990)
  • Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional :

  • Pengerusi Koperasi Muslimin
  • Setiausaha Yayasan Nadwah, Akademi Islam (NADI) Berhad
  • Pengerusi Jemaah Hakim Majlis Tilawah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa

Mempunyai kegemaran bermain golf dan membaca, serta aktif dalam bidang penulisan. Sebagai mengenang sumbangan dan jasa bakti beliau terhadap negara beliau dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran iaitu P.P.T., K.M.N., J.S.M., S.M.G., D.S.D.K yang membawa gelaran Dato', D.H.M.S dan P.S.M yang membawa gelaran Tan Sri.

----------------------

P/S: Meskipun beliau dikenali sebagai ulama UMNO, namun beliau telah pergi bertemu dengan Tuhannya dan Dialah yang lebih maha mengetahui... Kita disuruh untuk menceritakan kebaikan dan dilarang untuk menceritakan keaiban. Kita semua juga akan menyusul menghadapi nasib masing-masing di sebelah 'sana' kelak...

No comments: