Pages

Friday, November 5, 2010

Karya Rohani Imam Syah Waliyullah al-Dihlawi رحمه الله

Antara karya 'pelik' Imam Syah Waliyullah al-Dihlawi (w. 1176H) ialah kitab al-Durr al-Thamin fi Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW. Kitab ini mengandungi 40 buah 'hadith' yang diterima secara mimpi dan rohaniah oleh Imam Syah Waliyullah, bapanya dan juga lain-lain tokoh sufi seperti Syeikh Ahmad al-Nakhli, Syeikh Ahmad al-Qalqasyandi, Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan al-Syeikh al-Akbar Ibn 'Arabi yang disebut oleh beliau sebagai 'Ustaz al-Tahqiq'. Di antara ulama yang meriwayatkan kitab ini ialah Syaikhul Hadith Mawlana Syeikh Muhammad Zakaria al-Kandihlawi, tokoh hadith besar India dan salah seorang syeikh Tariqat Chistiyyah.

Imam Syah Waliyullah adalah antara tokoh ulama penting yang memainkan peranan dalam menghimpunkan antara ilmu syariat dan hakikat, serta hadith dan tasawuf dalam abad ke 12 Hijrah. Kehebatan ilmu hadithnya sama dengan kehebatan ilmu tasawufnya. Bahkan ramai ulama pada abad-abad ke 12, 13 dan 14 Hijrah yang berciri sedemikian rupa. Namun oleh kerana kesan pengaliran pemikiran ahli hadith moden (salafiyyah-athariyyah-wahhabiyyah) yang jumud dan rigid pada masa sekarang, maka mulalah kedengaran kini mereka yang merasa hairan dan pelik terhadap orang yang menggabungkan disiplin hadith dan tasawuf!.. Seolah-olah bagi mereka ahli hadith tidak sewajarnya mendekati ilmu tasawuf.

Supaya kita dapat meneliti sejauhmana ketinggian rohani Imam Syah Waliyullah dibawakan di bawah sebahagian dari petikan 'hadith-hadith' kitab tersebut.

Terjemahan: "Hadith keenam: Nabi SAW mengisyaratkan secara isyarat rohani yang ditujukan kepada si-faqir ini (Imam Syah Waliyullah) bahawa kehendak al-Haq (Allah) pada kamu ialah Allah Ta'ala akan menghimpunkan satu persatuan dari persatuan umat Islam yang dirahmati dengan sebab kamu".

Terjemahan: "Hadith kesepuluh: Daku bertanya Nabi SAW tentang mazhab-mazhab (fiqh) ini dan tariqat-taqiat (sufi) ini, manakah satu yang lebih utama di sisinya untuk dipegang dan disukai. Lalu melimpah ke atas hatiku dari baginda bahawa semua mazhab dan tariqat itu adalah sama, tiada lebih bagi salah satunya ke atas yang lain".
Terjemahan:
Hadith ke-14: "Bapaku mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau melihat Nabi SAW di dalam mimpi lalu baginda membai'ahnya dan mentalqinkannya zikir nafi dan ithbat (La ilaha illa Allah) sebagaimana menurut tariqat orang-orang sufi. Lalu beliau membai'ah daku sebagaimana Nabi SAW membai'ahnya, dan beliau mentalqinkan daku sebagaimana Nabi SAW mentalqinkannya".

Hadith ke-15: "Bapaku mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau pernah sakit, lalu beliau melihat Nabi SAW di dalam mimpi dan baginda bertanya: Bagaimana keadaan kamu hai anakku? Kemudian baginda memberinya khabar akan sembuh, dan memberinya dua helai rambut dari rambut janggutnya. Lalu beliaupun sembuh dari sakit serta merta, dan didapati di sisinya dua helai rambut berkenaan semasa jaga. Lalu beliau pun memberi kepadaku salah satunya, dan ia ada tersimpan di sisiku".

Hadith ke-16: "Bapaku memerintahkan daku dengan (mengamalkan) lafaz selawat ke atas Nabi SAW ini, iaitu: Allahumma Salli 'ala Muhammad al-Nabi al-Ummi wa Alihi wa Barik wa Sallim. Kata beliau: Daku membacanya di dalam mimpi kepada Nabi SAW dan baginda pun memujinya baik".

Terjemahan: "Bapaku mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau telah melihat di dalam mimpi Sayyidina Zakaria AS, lalu baginda mentalqinkannya zikir dengan nama Zat (ALLAH) yang sama seperti menurut Tariqat Naqsyabandiyyah, dan beliau pun mentalqinkannya kepadaku sebagaimana baginda mentalqinkannya".

Wallahu a'lam.

------------------

Lihat juga ulasan Ustaz Abu Muhammad berkaitan mimpi di Bahrus Shofa.

No comments: