Pages

Saturday, November 14, 2009

3 Aliran Pemikiran Besar Menurut Imam ‘Abdul Halim Mahmud

Tiga Aliran Pemikiran Besar Menurut Imam ‘Abdul Halim Mahmud

Dalam kerencaman hidup manusia di atas muka bumi pada masa kini, kepelbagaian arus pemikiran dalam kelompok akademik Islam terus berjalan berterusan tanpa hentinya. Ada sudut yang positif, secara dominannya, dan ada sudut yang negatif. Jika kita kembali merentas sejarah ke belakang, kita akan dapati apa yang berlaku pada masa kini adalah kesinambungan daripada masa lampau. Dalam bidang fiqh, sejarah telah merakamkam persaingan hebat antara dua aliran pemikiran besar, iaitu Madrasah Ahli Al-Ra’yi dan Madrasah Ahli Al-Hadith.

Manakala dalam bidang akidah, sejarah telah menyaksikan pertembungan kritikal antara dua aliran pemikiran besar juga, iaitu kelompok Ahlus Sunnah dan kelompok Muktazilah. Menurut Imam ’Abdul Halim Mahmud (m. 1978), bekas Syeikhul Azhar dahulu, dalam disiplin pemikiran umum dan falsafah Islam, dua kelompok tersebut juga disebut sebagai Nassiyyun (ahli nas) dan ’Aqliyyun (ahli akal). Di samping keduanya, terdapat sebuah lagi kelompok penting yang mencorakkan disiplin pemikiran Islam iaitu kelompok Basiriyyun (ahli basirah).

Pertembungan ketiga-tiganya berlangsung secara berterusan di dalam sejarah Islam, sama ada secara disedari ataupun tidak. Kata Imam ’Abdul Halim Mahmud: ”Permusuhan berterusan antara Nassiyyun yang diwakili oleh Imam Ahmad, Basiriyyun yang diwakili oleh Imam al-Muhasibi dan ’Aqliyyun yang diwakili oleh kaum Muktazilah. Antara perkara yang menghairankan ialah mana-mana kekuatan tersebut tidak jatuh tersungkur begitu sahaja, bahkan ia kekal kuat dan berterusan dalam bertempur dan berjuang sehingga ke hari ini.

Pemikiran al-Muhasibi terus bersambung dan terjasad secara realistik pada Imam al-Ghazali. Kemudian selepasnya, pada baki golongan Sufiyyah pula sehingga ke zaman sekarang. Tokoh yang mewakilinya dalam gaya baru dan idea bernas ialah al-marhum Syeikh ’Abdul Wahid Yahya, yang telah meninggal dunia di awal separuh yang kedua kurun ini.

Pemikiran Imam Ahmad terus bersambung dan terjasad secara realistik pada Imam Ibn Taymiyyah yang meletakkan mantik padanya serta mengukuhkan asas dan usulnya. Ia terus kuat sehingga ke zaman kita sekarang, dan tokoh yang mewakilinya secara semangat ialah al-marhum Syeikh Rasyid Ridha.

Pemikiran Muktazilah juga terus bersambung, namun adakalanya ia lemah dan adakalanya ia kuat, sehinggalah muncul Jamaluddin al-Afghani, lalu beliau menolaknya dengan kuat keluar ke alam zahir. Syeikh Muhammad ’Abduh adalah antara faktor terpenting dalam mengembangkannya secara perlahan dan halus yang hampir-hampir tersembunyi, atau hampir-hampir memakai pakaian Salafiyyah. Sesudah beliau, panji-panji dibawa oleh al-marhum Syeikh al-Maraghi dan al-marhum Syeikh Mustafa ’Abdul Raziq. Pemikiran Imam Muhammad ’Abduh ini terjasad secara realistik pada mereka berdua, bukannya pada Syeikh Rasyid Ridha, sebagaimana yang disangka oleh ramai orang.

Ketiga-tiga kekuatan ini terus berkonflik sehinggalah ke masa kita ini, dan kami percaya ianya akan terus berlangsung. Ini kerana ianya mewakili kecenderungan fitrah yang wujud pada umat manusia. Maka ada setengah mereka yang bersifat realiti, yang menuju kepada nas dan tidak mahu, ataupun ia tidak membolehkannya untuk berjalan kepada yang lebih jauh daripada itu. Setengah mereka pula menjaga sahsiahnya secara kuat dan tegas tanpa kompromi, maka ia adalah ’aqli atau i’tizali. Dan setengah mereka pula berperasaan halus, tipis pancainderanya dan bersifat kemalaikatan, maka ia adalah basiri atau sufi.

Tiga kecenderungan ini berdiri di atas fitrah yang berbagai. Fitrah-fitrah ini pula akan berterusan pada umat manusia selamamana wujud di atas muka bumi ini individu-individu daripada jenis insan. Dari sinilah kesilapan mereka yang memerangi tasawuf, atau i’tizal (cara berfikirnya sahaja), atau nassiyyun dengan cita-cita untuk menghapuskan salah satu aliran daripada aliran-aliran ini”. (Alhamdulillah Hazihi Hayati, h. 129-130)

No comments: