Pages

Wednesday, October 28, 2009

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam (2)

2. Bersikap Benar dan Amanah

Bersikap benar dan amanah terhadap apa yang ditulis, serta pasti dengan apa yang dihidangkan menurut landasan yang benar, merupakan satu perkara yang sangat penting. Sikap ini dapat mengelakkan dari membuat tulisan yang berbentuk dusta, berbaur fitnah, menipu, mencuri hak orang lain dan seumpamanya. Sifat benar ini adalah sifat yang dituntut oleh syarak, sabda Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin Mas'ud RA:

‏ ‏إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Terjemahan: "Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan, dan kebaikan itu pula membawa kepada syurga. Sesungguhnya seorang lelaki itu sentiasa bersifat benar sehingga menjadi seorang pembenar (siddiq). Manakala dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu pula membawa kepada neraka. Sesungguhnya seorang lelaki itu sentiasa berdusta sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta". (al-Bukhari: 5629 dan Muslim: 4719)

Antara sifat yang penting juga ialah amanah dalam menukilkan bahan-bahan yang dihidangkan. Justeru perlu disebut sumber ambilan atau rujukan yang digunakan, terutama bahan-bahan yang berbentuk ilmiah. Fenomena plagiat ini perlu diberi perhatian kerana ia juga termasuk sejenis pendustaan dan pencurian terhadap hak-cipta orang lain. Apabila orang mengutip dan merujuk kepada tulisannya menyangka itulah sumber asalnya, sedangkan pada hakikatnya ia cuma diciplak daripada orang lain semata-mata. Ketidak-jujuran ini jelas merupakan satu sikap yang dibenci oleh syarak.

3. Menggunakan Kata-Kata yang Baik

Bercakap dengan kata-kata yang baik menunjukkan akhlak yang tinggi individu berkenaan. Sikap ini mesti diterapkan bagi mengelakkan seseorang itu suka mengeluarkan kata-kata yang kesat, marah-marah, mencaci-maki, mencarut, merepek, meraban, mengaib atau menjatuhkan maruah orang lain, dan seumpamanya. Inilah petunjuk Rasulullah SAW di mana diriwayatkan banyak hadith mengenai saranan dan kelebihan orang-orang yang bercakap baik, serta ancaman terhadap orang-orang yang bercakap keji. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏سَبَّابًا وَلَا فَحَّاشًا وَلَا لَعَّانًا
Terjemahan: "Nabi SAW bukanlah seorang pemaki, bercakap kasar ataupun pelaknat...". (Riwayat al-Bukhari)

Daripada 'Abdullah bin Mas'ud, sabda Rasulullah SAW:

‏لَيْسَ الْمُؤْمِنُ ‏ ‏بِالطَّعَّانِ ‏ ‏وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا ‏ ‏الْفَاحِشِ ‏ ‏وَلَا الْبَذِيءِ
Terjemahan: "Seorang mukmin itu bukanlah seorang pencaci, pelaknat, bercakap kasar ataupun kesat". (Riwayat al-Tirmizi: 1900, katanya: Hadith Hasan Gharib)

Daripada Abu al-Darda' RA, sabda Nabi SAW:

‏مَا شَيْءٌ أَثْقَلُ فِي مِيزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ خُلُقٍ حَسَنٍ وَإِنَّ اللَّهَ لَيُبْغِضُ ‏ ‏الْفَاحِشَ ‏ ‏ الْبَذِيءَ
Terjemahan: "Tidak ada sesuatu pun yang paling berat dalam timbangan seorang mukmin pada hari kiamat kelak selain daripada akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah amat membenci orang yang suka bercakap kasar lagi kesat". (Riwayat al-Tirmizi: 1925, katanya: Hadith Hasan Sahih)

Daripada Abu Hurairah RA pula, sabda Rasulullah SAW:

‏مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Terjemahan: "Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia bercakap yang baik, atau diam sahaja...". (al-Bukhari: 5994 dan Muslim: 67)

Maka berfikirlah sebelum anda menulis. Alangkah baiknya jika apa yang ditulis itu mempunyai hubungan dengan Allah SWT, termasuklah yang berkaitan nilai-nilai agama dan moral yang baik. Daripada Ibn 'Umar RA, sabda Rasulullah SAW:

‏لَا تُكْثِرُوا الْكَلَامَ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الْكَلَامِ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ قَسْوَةٌ لِلْقَلْبِ وَإِنَّ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْ اللَّهِ الْقَلْبُ الْقَاسِي
Terjemahan : "Janganlah kamu banyak berbicara tanpa berzikir kepada Allah. Sesungguhnya banyak berbicara tanpa berzikir kepada Allah dapat mengeraskan hati. Dan sesungguhnya orang yang paling jauh daripada Allah adalah yang berhati keras". (Riwayat al-Tirmizi: 2335, katanya: Hadith Hasan Gharib)

Justeru, tidak selayaknya seseorang itu menulis menurut apa sahaja kehendak hawa nafsunya sebelum dipertimbangkan terlebih dahulu berdasarkan tuntutan syarak. Jika didapati ianya bersesuaian, maka tidak ada halangan untuk meneruskannya, manakala jika didapati sebaliknya pula, maka berhenti sahaja daripada menulis kerana itu lebih baik bagi dirinya. Dikhuatiri mudaratnya lebih besar, lebih-lebih lagi dipersoalkan nanti di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

‏إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ
Terjemahan: "Nescaya sesungguhnya seorang hamba itu bercakap dengan suatu perkataan yang termasuk keredhaan Allah sedang dia tidak begitu memikirkannya, namun dia diangkat oleh Allah kerananya beberapa darjat. Manakala seseorang hamba itu pula bercakap dengan suatu perkataan yang termasuk kemurkaan Allah sedang dia tidak begitu mengendahkannya, lalu dia terjerumus kerananya ke dalam neraka Jahannam". (Riwayat al-Bukhari: 5997)

No comments: