Pages

Tuesday, August 4, 2009

Buku 50 Isu-isu Fiqh


Ada 50 masalah fiqh yang dibincangkan oleh Syeikh Muhammad ’Abdullah Abu Su’aylik di dalam kitab Masa’il Fiqhiyah lin-Niqasy ini. Beliau membincangkan setiap satu masalah secara detil dengan membawa pendapat-pendapat ulama serta dalil-dalil mazhab mereka. Kemudian beliau mentarjih (memilih) mana pendapat yang dilihatnya kuat dari segi pendalilan yang dikemukakan.

Di sini saya hanya pilih 5 daripada 50 masalah yang terkandung di dalam kitab tersebut, dengan hanya menyatakan pandangan yang ditarjihkan oleh beliau sahaja.

1- Bidaah dalam Islam:
Bidaah pada syarak ialah perkara baru yang bertentangan dengan syarak, iaitu sama ada kitab al-Quran mahupun sunnah. Adapun yang tidak bertentangan tidak dinamakan bidaah, dan dipraktik ke atasnya hukum-hakam yang lima sebagaimana yang dinyatakan oleh para fuqaha’. (Hlm. 11)

2- Hukum zikir berjamaah:
Harus berzikir dengan berjemaah secara mutlak kerana kuatnya dalil ulama yang mengharuskan, dan tidak ada dalil di sisi ulama yang menegahnya, dengan syarat tidak dimasuki perkara luaran lain yang membawa kepada larangan; seperti tarian ahli sufi, teriakan bidaah mereka, gendang mereka yang membuat malaikat lari serta percampuran lelaki dan perempuan. (Hlm. 16)

3. Hukum Mawlid Nabi SAW:
Meraikan Mawlid menurut takrif bidaah yang kami pilih, bukanlah suatu bidaah. Ia tidak disertai dakwaan anjuran syarak terhadapnya, atau galakan syarak dalam mengkhususkannya, atau menisbahkan apa yang bukan syarak dalam perkara ini kepadanya. Justeru itu, sambutan ini bukanlah termasuk perkara yang terpraktik padanya definisi bidaah menurut mana-mana sisi pandangan dalam pentakrifan bidaah, kerana telah sabit asalnya daripada sunnah dan banyaknya dalil yang menyokong kewujudan asalnya. (Hlm. 19)

4. Berubat dengan benda haram:
Haram berubat dengan benda-benda haram, kerana kekuatan dalilnya. (Hlm. 29)

5. Bertawassul dengan Nabi SAW:
Harus bertawassul dengan Nabi SAW selepas wafatnya dengan iktikad bahawa yang melaksanakan ialah Allah SWT, Dia-lah yang memberi dan menegah, berdasarkan hadith ’Uthman bin Hunaif RA. (Hlm. 34)

No comments: