Pages

Wednesday, July 29, 2009

Pesta Buku.. Beli Buku.. Baca Buku..

Pesta buku memang sering diadakan, sama ada peringkat IPT, negeri mahupun antarabangsa. Namun, ironinya untuk mencari buku-buku ilmiah khususnya dalam bahasa Malaysia (bukan Indon) agak susah dan tidak begitu banyak ditemui. Inilah pengalaman saya apabila nak mencari buku-buku agama yang berbentuk ilmiah (bukan buku agama biasa yang kadang-kadang penyusunnya pun menggunakan nama samaran). Jika adapun, harganya terlalu mahal kerana ianya dicetak dalam kuantiti yang sedikit. Ini mungkin disebabkan permintaan yang memang kurang kerana budaya membaca di kalangan masyarakat yang begitu rendah.

Banyak dah saya mendengar khabar tentang budaya membaca di kalangan masyarakat Barat dan Jepun. Tidak kurang juga budaya membaca di kalangan masyarakat Arab. Namun, budaya membaca di kalangan masyarakat Melayu, khususnya Malaysia, masih sangat mengecewakan. Kelas budaya membacanya masih di peringkat rendah. Bahan-bahan bacaan yang banyak dibaca hanya terbatas kepada surat khabar, majalah, novel satira dan hiburan. Masyarakat Malaysia secara umumnya masih tidak berani meneroka bacaan-bacaan yang lebih ilmiah, kritikal dan mencabar minda. Antara kesannya, ramai penulis-penulis ilmiah yang tidak berani menerbitkan tulisan mereka kerana tiada siapa yang ingin membeli dan membacanya. Sesetengah tulisan ilmiah pula terpaksa diolah menjadi kurang ilmiah bagi mengikut selera masyarakat. Begitu juga laman-laman sesawang dan blog-blog ilmiah tidak selaris laman-laman sesawang dan blog-blog satira, politik dan hiburan. Jika keadaan ini berterusan, masyarakat Malaysia mungkin lambat lagi nak menjadi masyarakat yang setaraf dengan masyarakat maju.

No comments: