Pages

Thursday, June 4, 2009

Perbezaan Keluasan Ilmu Setiap Manusia


Setiap manusia mempunyai medan dan keluasan ilmu yang tidak sama. Ada yang sedikit dan ada yang sangat luas ilmunya. Bagaimanapun, tidak ada seorang manusia pun yang sempurna dan lengkap ilmu pengetahuannya mencakupi segala-galanya. Ini kerana yang sempurna ilmunya ialah Allah SWT semata-mata. Dia yang Maha Mengetahui dan Maha Segala-galanya. Maka yang pasti, kesempurnaan itu hanyalah milik Allah SWT.

Daripada kenyataan tersebut, kita lihat di kalangan ulama Islam sendiri secara amnya, ada yang apabila kita sebut namanya, maka kita akan ingat bidang ilmu yang beliau kuasai. Meskipun pada asas hakikatnya, beliau menguasai banyak bidang ilmu. Justeru namanya lebih sinonim dengan satu bidang ilmu yang menjadikan namanya itu menonjol.

Misalnya, apabila disebut nama Imam al-Bukhari atau Imam Muslim, maka kita akan teringat bidang hadith, bukan bidang tafsir ataupun bahasa Arab. Apabila disebut nama Imam Abu Hanifah atau Imam al-Syafie, kita akan teringat bidang fiqh, bukan bidang akidah ataupun hadith. Apabila disebut nama Ibnu Malik atau Ibnu Hisyam, kita akan teringat bidang bahasa Arab, bukan bidang fiqh ataupun tafsir. Begitulah seterusnya..

Ini juga berhubung kait dengan perbezaan dalam menelaah kitab-kitab ilmu antara satu orang dengan yang lain. Ada yang kecil ruang lingkup ilmunya kerana sedikit menelaah kitab-kitab. Ada yang sangat luas ruang lingkup ilmunya kerana banyak menelaah kitab-kitab. Bagaimanapun sebanyak mana kitab-kitab yang ditelaah, sebenarnya masih tetap ada kitab yang tidak dapat ditelaah. Ini kerana kitab-kitab yang ditulis dan ditinggalkan oleh para ulama Islam sangat banyak jumlahnya. Malah sehingga ke hari ini meskipun sudah banyak kitab-kitab yang dicetak dan diterbitkan, lama dan baru, klasik dan moden, namun masih ada banyak lagi kitab-kitab yang masih di dalam 'sangkar'nya. Manuskrip-manuskrip ini bertebaran di banyak tempat, bukan sahaja di negara-negara Arab seperti Mesir, Syria, Arab Saudi, Maghribi dan lain-lain, malah di India, Pakistan, Rusia, Holand, England, Perancis dan sebagainya.

Jika demikian realitinya, siapakah yang mampu dan sanggup menelaah kesemuanya? Jawabnya tidak ada. Maka sebagai moralnya, janganlah mendabik dada dan merasa lebih tinggi daripada orang lain. Ilmu yang diberikan adalah milik Allah SWT. Ingatlah firman-Nya:
وفوقَ كلِّ ذِي علمٍ عليمٌ
"Dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan,
ada lagi di atasnya Yang Lebih Mengetahui". (Yusuf: 76)

No comments: