Pages

Tuesday, June 2, 2009

Menghidupkan Pengajian Sahih al-Bukhari (2)

Dalam 'Seminar Tokoh Hadith al-Imam al-Bukhari' pada 16 Mei 2009 yang lalu di Masjid Negeri, Shah Alam, ada satu kertas kerja yang menarik oleh sahabat saya, Dr. Faisal Ahmad Shah dan Mohamad Hasbullah Salim (UM), bertajuk 'Pengaruh Sahih al-Bukhari Dalam Masyarakat Islam di Malaysia'.

Ringkasannya; Tok Khurasan (m.1944) dianggap sebagai pelopor kepada perkembangan pengajian hadith di Tanah Melayu, terutamanya di Kelantan, dengan memperkenalkan pengajian al-Kutub al-Sittah, termasuk Sahih al-Bukhari.

Kitab Sahih al-Bukhari ini ada diajarkan di tempat-tempat pengajian berikut:
1. Pusat Pengajian Pondok, Kandis, Bachok, Kelantan, bagi pelajar-pelajar tahun keenam.
2. Pondok al-Madrasah al-Latifiyyah, Kg. Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, Perak atau 'Pondok Pak Teh'.
3. Madrasah Miftah al-'Ulum, Bandar Baru Seri Petaling, bagi pelajar-pelajar tahun ketujuh.
4. Pusat Pengajian al-Quran Darul Kauthar, Kelantan .
5. Madrasah al-Quran Kubang Bujuk, Serada, Kuala Terengganu.
6. Darul 'Ulum li Ihya' 'Ulum al-Din, Langgar, Kedah.

Kitab Sahih al-Bukhari juga diajarkan kepada umum oleh;
7. Syeikhuna Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya, Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara dan Masjid Abu Bakar al-Siddiq, Bangsar.
8. Ustaz Muhammad Asri Yusof di Masjid al-Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan.
9. Bekas Mufti Perlis (malas nak sebut namanya) dulu pun pernah mengajarkannya di Selangor, tapi sikit aje.
10. Prof. Dr. Muhammad Abu al-Layth al-Khayr Abadi pada setiap hari Isnin dan Selasa selepas asar di Masjid UIAM.
11. Ustaz Mohd. Zain Noh di Surau Taman Melewar, Gombak.
12. Syeikhuna Dr. Nur Abdi Gudle al-Somali di Masjid al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Kuliah diadakan pada waktu Zohor setiap hari Isnin dan Khamis.
13. Datuk Syeikh Badaruddin Hj. Ahmad dari Pusat Khidmat Sosial Islam (PAKSI). Kelas-kelas pengajian hadith di Alor Setar ini diadakan di beberapa tempat antaranya di Pusat Tuisyen Specialist, Dewan Bangunan Serbaneka dan Menara Zakat di Alor Setar, Kedah.

Demikian rumusan yang dipetik daripada kertas kerja berkenaan. Jika ada sesiapa yang hendak menambah, sila beritahu al-faqir untuk rekod simpanan.

No comments: